
SISTEM AL AZHAR TURUT MEMPUNYAI KEMAJUANNYA
Tidak dapat disangkal sistem pengurusan universiti Al-Azhar mungkin ada sedikit kekurangan jika dilihat dari sudut pembangunan zaman sekarang. Tetapi bagi saya, apa yang diutarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dalam akhbar baru baru ini berkenaan perkara itu adalah kurang tepat. Perlu dibezakan antara sistem pengajian dengan pengurusan universiti. Isu masalah besar Al-Azhar ialah pengurusannya bukannya pengajiannya.
Mungkin Al-Azhar tidak sehebat pengurusan universiti ternama lain. Pendaftaran subjek tidak melalui internet, keputusan peperiksaan masih menggunakan kaedah lama iaitu bukannya melalui internet, dan pelbagai lagi. Bagi saya itu memang kebiasaan orang arab yang masih lagi dalam proses pembinaan terutamanya dari segi sistem pengurusan mereka.
Secara umumnya, sistem pengajian merujuk kepada silibus dan kaedah pengajaran di universiti. Tidak dapat disangkal juga banyak universiti di dunia ini mengambil silibus Al-Azhar untuk dijadikan silibus kuliah Pengajian Islam mereka. Bagaimana mungkin silibus pengajian yang dikatakan ketinggalan tersebut diambil untuk diterapkan bagi mengeluarkan sarjana agama?
Ini menunjukkan bahawa silbus yang dipelajari di Al-Azhar diiktiraf oleh kebanyakan universiti terkenal diseluruh negara. Selain itu juga, kepakaran ulama’ Al-Azhar yang tidak pernah ketinggalah daripada membicarakan isu-isu kontemporari umat islam menjadi kelebihan kepada pelajar disana. Mungkin secara ringkasnya ada dua perkara sahaja yang sering dipersoalkan berkenaan sistem pengajian Al-Azhar, iaitu :
1) Kuliah tidak diwajibkan bagi pelajar universiti. Persoalan ini terjawab, walaupun kuliah tidak diwajibkan, universiti Al-Azhar masih menjaga pencapaian kualiti mereka. Peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti sangat ketat untuk kenaikan tahun. Gagal lebih dua subjek, pelajar dihalang untuk ke peringkat pengajian seterusnya dan perlu mengulang di tahun yang sama. Saya kira inilah kemajuan Mesir, memaksimumkan bilangan pelajar untuk mendapat pengajian tinggi disamping mengetatkan peraturan pembelajaran. Hasilnya setiap pelajar kena usaha lebih di luar kuliah bersama para masyaikh yang lain.
2) Peperiksaan hanya 1 kali setiap semester. Kalau diteliti, peperiksaan bertujuan untuk menilai kemajuan dan pencapain ilmu sesorang pelajar. Bagi saya, 3 atau 1 kali setiap semester terserah kepada pengurusan universiti asalkan objektifnya terlaksana. Kalau tidak silap, di Malaysia terdapat dua kali peperiksaan setiap semester dan terdapat juga kuiz yang kekerapannya bergantung kepada pensyarah. Di Jordan pula, peperiksaan 3 kali setiap semester dan tiada kuiz.
Sebenarnya persoalan sistem pengajian terlalu susah untuk diukur bagi menentukan mana yang terbaik. Paling senang kita merujuk kepada produk yang dihasilkan. Al Azhar terbukti dapat mengeluarkan produk yang mampu berbakti kepada ummah dan negara.
Kalau dikaji mengikut indeks pencapaian, walaupun Universiti Al-Azhar masih mengekalkan sistem pengajiannya yang tersendiri, ulama’ dan cendikiawan bertaraf antarabangsa masih dapat dihasilkan dengan begitu ramai. Malah perlu diberi gred yang tertinggi kerana cara yang digunakan luar biasa daripada apa yang diaplikasikan oleh kebanyakan universiti.
PERMASALAHAN UTAMA
Sepanjang berkelana menuntut di Timur Tengah dan pernah ke Mesir, saya berpendapat kerajaan Terengganu tidak serius dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyatnya. Tohmahan dan sindirin terutamanya kepada pelajar Mesir yang sering didengari tidak menyumbang sebarang perubahan kepada pelajar Terengganu di Mesir mahupun dimana-mana institusi. Apa yang diharapkan ialah dengan penghantaran dua orang pegawai ke Mesir, mereka duduk berbincang dengan pelajar-pelajar bagi membantu mengatasi masalah pelajar pelajar.
Berlainan pula apa yang berlaku diantara pelajar Jordan dengan pihak pegawai mereka. Mereka sering duduk bersama berbincang bagi memastikan kecemerlangan dapat ditempa dalam semua bidang. Semua masalah pelajar dapat diadukan kepada pegawai dan mereka cakna kepada semua permasalahan yang berlaku. Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dengan kerjasama persatuan akan cuba menyelesaikan semua masalah samada masalah kebajikan mahupun akademik.
Ia berbeza dengan apa yang berlaku di Mesir, penghantaran khusus 2 pegawai Terengganu yang bertugas di Mesir selama ini sepatutnya dapat menyelesaikan kesemua masalah tersebut. Bilangan pelajar Terengganu tidaklah sebesar Kedah dan Kelantan. Apa gunanya membazirkan wang rakyat jika pegawai hanya mengambil berat tentang bangunan kerajaan dan menulis laporan permasalahan pelajar di Mesir tanpa ada sebarang jalan penyelesaiannya dirangka dan dilaksanakan.
Kerja utama pegawai yang dihantar ke Mesir adalah untuk memastikan kebajikan pelajar terbela dan kecemerlangan dapat dipahat. Pegawai juga merupakan wakil kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul, bukannya hanya semata-mata memberi laporan masalah dihadapi dan kemudianya menjadi buah mulut rakyat di tanah air.
PENYELESAIAN

Bagi saya, masalah utama yang dihadapi oleh pelajar Mesir adalah kehadiran ke kuliah kerana masalah pengangkutan di Mesir. Sesiapa yang pernah menjejakkan kaki mereka ke Mesir akan mengetahui bahawa negara Mesir masih lagi dalam proses pembinaan dan baik pulih terutamanya dalam sistem pengangkutan.
Dalam masa yang sama, bukan semua pelajar yang tidak hadir ke kuliah. Terdapat juga pelajar yang sanggup bertarung dengan masa untuk hadir ke kuliah. Perjalanan daripada Asrama Terengganu ke Universiti Al Azhar memakan masa 45 minit atau lebih. Pun begitu, masih ada pelajar yang tetap berusaha ke kuliah walaupun terpaksa menunggu bas pergi dan pulang melebihi masa perjalanan menerusi bas ke Universiti Al Azhar. Menunggu bas lebih daripada lebih 1 jam pergi dan lebih 1 jam balik menjadi lumrah pelajar disana yang kadang kala memilih untuk hadir ke tempat talaqqi daripada pengajian di universiti. Jadi masalah pengangkutan menjadi faktor masalah yang perlu diselesaikan.
Kerajaan Terengganu sewajarnya mengeluarkan peruntukkan untuk membeli sebuah bas bagi kemudahan pelajarnya disana. Faktor kewangan sepatutnya tidak menjadi masalah kepada Kerajaan Terengganu yang merupakan negeri yang kaya dengan sumber pendapatan. Malah, kerugian besar perlu difikirkan apabila bangunan Terengganu tidak dapat dihuni secara optimum oleh rakyat Terengganu akibat penurunan jumlah pelajar Terengganu ke Mesir suatu ketika nanti.
Masalah pengurusan bas, undang undang Mesir dan lain-lain tidak perlu dibangkitkan. Persoalan tersebut terlalu kecil bagi sebuah kerajaan negeri yang memiliki pegawai pegawai yang pelbagai kepakaran untuk menyelesaikannya. Malah pengurusan bas boleh diletakkan dibawah urusan pegawai yang dihantar ke Mesir.

Apa yang lebih penting sebelum itu, persoalan utama yang perlu diteliti ialah keseriusan kerajaan Terengganu untuk membantu rakyatnya. Kalau slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”hanya bersifat kalimah keramat ahli politik untuk menguntungkan mereka, maka segala permasalah yang disebutkan itu hanya didengari tanpa melakukan sebarang tindakan bersama.
Jelas keberadaan mahasiswa jauh di Malaysia tidak menguntungkan ahli politik untuk terus berkuasa malah kehebatan pelajar sekarang boleh mengugat keselesaan kerusi empuk mereka. Jika pemikiran begini terus diamalkan, pemimpin Terengganu boleh dianggap dayus. Ya, dayus dalam memilih diantara kebajikan dan pembangunan rakyat dengan pangkat dan kuasa mereka. Mereka sebenarnya tidak layak untuk menjadi pemimpin. Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang dapat menghasilkan rakyat yang lebih hebat daripada mereka serta dapat menjaga kebajikan rakyatnya. Bukannya pemimpin yang hanya mengugut rakyat dengan bantuan kebajikan.
AKHIRNYA
Terengganu kini mengorak langkah peneraju sukan di Malaysia. Rakyat Terengganu seorang demi seorang menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa. Sukan sangat penting bagi manusia, begitu juga kepentingan agama dalam diri manusia tidak dapat dinilai. Bagi meningkatkan prestasi sukan kerajaan sanggup mengeluarkan beribu-ribu malahan jutaan peruntukan. Akan tetapi dalam meningkatkan prestasi bidang agama, ia sepatutnya tidak menjadi perkiraan yang sulit bagi kerajaan untuk mengeluarkan peruntukan tersebut.
Mungkin sesetengah orang akan memperlekehkan jalan penyelesaian ini. Tetapi sekurang- kurangnya penyelesaian ini lebih praktikal daripada terus menutup peluang rakyat Terengganu yang ingin mendalami pengajian agama di Al-Azhar. Universiti tertua di dunia yang mana sehingga sekarang peranannya di dalam agama diiktiraf di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment